Antara Lelaki dan Pakyung
“Sebab itulah salah satu sebab mengapa orang tua zaman dahulu tidak menggalakkan orang laki-laki memakai pakyung, sebab untuk nak elak berlakunya kejadian seumpama beginilah”.
Begitulah jawapan aku kepada seorang lelaki yang meminta pandangan aku mengenai dirinya yang berminat hendak menjadi Pakyung. “Bagaimana pun aku tidak pula melarang kamu menjadi Pakyung diatas sebab kamu seorang lelaki, jika kamu dapat menguasai keempat-empat elemen wajib maka silakanlah. Bahkan sebelum perang dunia kedua dahulu pun sudah ada seorang lelaki memakai Pakyung yang disebut sebagai ‘Makyung Papak’ (dalam bahasa Kelantan, papak ialah lelaki yang mempunyai perwatakan perempuan dalam kehidupan seharian, baik tingkah laku maupun cara berpakaian @Bapok).
Apabila kamu menjadi Pakyung tua atau Pakyung muda, kamu hendaklah sedar bahawa kamu adalah seorang lelaki dan mesti tahu batas sempadan hubungan antara lelaki dan perempuan kerana ini adalah etika-etika yang sepatutnya dipatuhi dalam Makyung. Jangan samakan dengan Pakyung perempuan atau pun teater-teater lain sebab teater Makyung mempunyai etika dan falsafahnya yang tersendiri,
Persoalan yang sebenarnya yang dibincangkan ialah mengenai isu adegan berkasih sayang, berpelukan atau dalam bahasa makyungnya disebut ‘cuit cerapet bertindih riba’. Adegan ‘cuit cerapet bertindih riba’ ini tidak menjadi masalah jika antara Pakyung perempuan dengan puteri perempuan, tetapi jika kamu seorang Pakyung lelaki tidak sepatutnya kamu lakukan sebagaimana yang lakukan oleh Pakyung perempuan. Jika kamu Pakyung lelaki lakukan sebagaimana yang dilaku oleh Pakyung perempuan bermakna kamu telah melanggar etika dalam permainan Makyung. Sedangkan antara Peran lelaki dan Pakyung perempuan pun langsung tidak boleh bersentuhan antara satu dengan lain dalam adegan ‘gurau senda’ inikan pula adegan ‘bertindih riba’. Adakah pernah diberitahu hal-hal begini kepada kamu?….. Jangan hanya pandai berkata dalam Makyung mempunyai falsafah ketuhanan sedangkan dalam masa yang sama kamu telah melakukan percanggahan terhadap falsafah tersebut.
Itulah makanya aku lebih senang menonton persembahan makyung di kampung-kampung yang dimainkan pula oleh penggiat kampung. Disamping air nyanyian dan dailognya mengingatkan aku kepada penggiat-penggiat yang pernah mendidik aku suatu masa dahulu. Penggiat-penggiat kampung ini masih patuh kepada etika yang sebenar, walaupun setiap persembahan mereka tidak pernah ada pengarah persembahan.


